PENAT LELAH DI SESSI RAKAMAN VIDEO

Hamba baru saja balik dari majlis peperpisahan pengurus Espek, Tuan Hj.Tukiman. Nampak ramai juga warga Risda Semaian AMBS yang hadir termasuk encik Ahmad Farid. Boleh tahanlah kemeriahan majlis tu. Siap ada kugiran dan dewan Espek TT2 pula penuh sesak dengan tetamu. Lagu-lagu 60'an menjadi iringan sewaktu menjamu selera berhidangkan gulai kawah yang sungguh enak. Yang menariknya... Tuan Haji Tukiman juga turut sama 'melalak' berhibur merai pemergiannya. Hamba yang asalnya dibangsal jamuan, sedikit-sedikit menghampiri pintu dewan walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai sambil berasak-asak dengan kebanyakannya mat indo kerana tertarik dengan riuh rendah di dalam dewan. "Kekasih Awal Dan Akhir... Itulah lagu pilihan Tuan Haji. Ada maksud tersirat kot sempena perpisahan beliau itu.
Bagaimanapun hamba cukup terhibur dan reda sedikit keletihan yang ditanggung ini.

Ya! hamba letih sungguh sehari dua ni, namun keletihan ni tidak terhenti setakat ini saja. Rasanya ia  akan terus membelit hamba sehingga pertengahan minggu depan. Apa tidaknya, hamba dimaklumkan bahawa dato' KP dijadualkan akan singgah untuk melawat pada 18 hb Jan nanti. "Kali ini mesti jadi..." Tapi, jadi tak jadi bukan soalnya kerana persiapan tetap kena buat. Hah! Dalam kepala hamba, banyak kerjalah sedang menanti.

Buat masa ni bolehlah rehat sikit sebab lebih kurang pukul 12.30 tengahari tadi, berakhirlah program penggambaran video selama 2 hari setengah oleh pihak Risda di Makmal Pengeluaran Biji Cambah , Risda Seed AMBS. Sepanjang rakaman itu, hamba bergegas ke sana sini memenuhi permintaan mereka. Walaupun agak letih melayan kerenah 'penerbit' rakaman, namun ada juga seronoknya. Sorry lah yea...hamba tak nak kongsi keseronokan hamba tu dengan sesiapa.
          Rakaman video ini dilakukan oleh pihak Risda yang diketuai oleh Cik Siti Rahmah bt Abd.Rahman dibantu oleh 2 jurukamera iaitu, encik Rosmin bin Mohamad dan encik Jamaluddin bin Mohamad. Tujuan penggambaran ini adalah untuk ditayangkan sewaktu perhimpunan Risda Ampang pada 9 Februari nanti yang diuruskan oleh BBIP.
       Harap-harap tiada kesilapan proses semasa rakaman tu kerana yang menonton nanti semua kakitangan Risda Ampang termasuk dato' KP.
Bagaimanapun hamba rasa penggambaran semalam telah dibuat dengan penuh teliti dan kadang kala berulang-ulang untuk mendapatkan gambaran jelas dari segi pemerosesan biji cambah. Eksekutif Risda Seed, encik Mohd Zharif Dahalan pula sentiasa bersedia memberi maklumat tepat berkaitan proses supaya penyiarannya nanti tidak menyimpang dari prosedur sebenar. Jika ada proses yang tidak tepat dalam rakaman tu, mungkin ia kesilapan yang tidak disengajakan.
       Hamba sangat2 nak ucapkan terima kasih kepada pekerja2 Makmal, iaitu Zamri, Kak Esah, Aemaliana, Zulina, Noraini dan Miza kerana tidak merungut malah telah memberi kerjasama yang sangat baik semasa rakaman tersebut. Sikap pekerja2 makmal itu sewajarnya dipuji kerana dengan sendirinya memberikan impak yang baik di mata pihak Risda terhadap Risda Seed khususnya dan Risda Semaian keseluruhannya. 

Okey lah...Jom kita pakat tengok apa yang dia orang rakam.

ANTARA GAMBAR-GAMBAR YANG SEMPAT DIAMBIL SEMASA SESSI PENGGAMBARAN TERSEBUT



KAMERA ...



...ACTION!



  • Penggambaran untuk video aktiviti kerja di Risda Seed AMBS dimulakan di Ladang Pajakan MPOB

SESSI UJIBAKAT, NAMPAKNYA KERETA SORONG
ANTARA YANG TERPILIH




  • Rakaman di ladang dimulakan dengan pengenalan peralatan kerja khusus untuk pembungkusan dan pendebungaan bunga betina

SAMBUTAN HANGAT, TOPI, RACUN SERANGGA, BEG DAN
MACAM-MACAM BARANG LAGI TURUT BERMINAT
UNTUK BERLAKON




  • Rakaman semasa proses depulper di makmal pengeluaran biji cambah Risda Seed AMBS

BERMULANYA SEBUAH KISAH...





  • Persediaan untuk merakam kerja-kerja detergent dan rawatan antifungus

PARA PELAKON DIARAH BERADA DI LOKASI
DENGAN SEGERA





  • Rakaman dalaman mesin depulper

ABANG KAMERAMAN TENGAH SHOOT LUBANG
MESIN DEPULPER DI MANA BERMULANYA SEBUAH MISTERI





  • Mencari sudut terbaik untuk merakam proses rendaman biji

ANTARA WATAK PENTING DALAM PENGGAMBARAN
TERSEBUT IAITU KOLAH.





  • Zamri sedang menunjukkan cara membilas biji yang dicuci dengan teepol sebelum rakaman dijalankan

BABAK ROMANTIK ANTARA ZAMRI DAN HOSE PAIP
SEDANG  DIRAKAM





  • Cik Siti Rahmah, en.Zharif dan Pemb.Makmal berbincang sebelum memulakan penggambaran ujian kandungan air

PEMBANTU MAKMAL MENDESAK PENERBIT SUPAYA
WATAK PONTIANAK DISELITKAN JUGA DALAM 
RAKAMAN ITU 





  • Pemandu Risda sedang berehat seketika bersama Cik Siti Rahmah di sudut makmal

WALAUPUN GAYA PEMANDU RISDA TU SEBIJIK MACAM
HANTU... NAMUN RAYUANNYA UNTUK MEMBAWA WATAK
PONTIANAK TETAP DITOLAK OLEH PENERBIT




  • Rakaman kerja-kerja pemilihan biji cambah sedang dijalankan


ADEGAN MENGIRA BIJI SAWIT OLEH KAK ESAH DAN NOR
DIRAKAM DENGAN PENUH KESABARAN...






  • Juru kamera ( En.Jamaluddin) dan Pembantu Makmal sedang berbincang sebelum memulakan penggambaran berkaitan 'packing' biji


RAKAMAN TERGENDALA SEKETIKA...
PEMBANTU MAKMAL MEMBANTAH ARAHAN
PENGARAH YANG MENYURUH NOR DAN KAK ESAH
MENARI ALA RAP KERANA DIA LEBIH SUKA JIKA
MEREKA MENARI GELEK ALA DANGDUT.




  • Rakaman cara-cara 'packing' biji sedang dilakukan

CAMPUR TANGAN PENERBIT AKHIRNYA RAKAMAN
DAPAT DITERUSKAN DENGAN TARIAN KOTAK






  • Cik Siti , en.Zharif dan Pembantu Makmal sedang menyemak rakaman dengan disertai oleh jurukamera iaitu en.Jamaluddin dan en.Rosmin 

PERBINCANGAN TERPAKSA DILAKUKAN KERANA
BANYAK ADEGAN TELAH TERKELUAR DARI SKRIP ASAL





  • Selain menyemak rakaman, mereka juga berbincang tentang penyusunan skrip untuk tayangan pada perhimpunan RISDA Ampang kelak

APA DAH JADI DENGAN FILEM KITA NI???
ITULAH RUNGUT CIK SITI SELAKU PENERBIT
MENYEBABKAN PENGARAH YANG BERBAJU
KUNING TU PENING KEPALA


 Keterangan di bawah gambar bukan situasi sebenar semasa penggambaran...
(Hamba)



Sejunjung TERIMA KASIH kepada ENCIK NASDY - dari Unit Tisu Kultur Risda, kerana banyak membantu membabitkan maklumat serta foto untuk penerbitan catatan ini.
Nasdy








2010 Jan 13/23.47 mlm

Tiada ulasan: